Saturday, November 27, 2010

Catur Putih Yang Kehilangan 'Permaisuri'

“Mengapakah kita lemah dan sering kalah apabila berhadapan dengan Israel sedangkan negara umat Islam banyak,lebih daripada 40 buah negara? Umat Islam tidak akan lemah dan kalah berhadapan dengan Israel jika negara ummat Islam hanya satu”. (Syeikh Yusuf Al-Qardhawi)

chess

Jika dilihat situasi dunia hari ini seolah-olah satu permainan catur. Catur putih hitam yang digambarkan antara Islam dan Yahudi menanti penentuan checkmate, dalam erti kata lain, kemenangan merebut matlamat yang hampir serupa, tetapi originality yang berbeza.
Jika benar Islam dan Yahudi seolah-olah dalam permainan catur, maka kita diambang kebuntuan antara kalah menang. Sekarang, ‘Raja’ dalam bahaya. Bahaya akan begitu diamnya askar-askar putih. Bahaya kebuntuan strategi. Malah, yang paling teruk, buah catur terpenting itu sudah tiada. Buah catur yang menjadi pusat mampu mengawal keseluruhan permainan catur, itulah ‘Permaisuri’ yang dinamakan Palestin!
Berkata Salahuddin,
“Barangsiapa yang menguasai Palestin, dia akan menguasai dunia”


Siapakah yang menguasai permainan catur itu sekarang?



APAKAH ERTI KEHILANGAN PERMAISURI DALAM CATUR?

Andaian awal seorang pemain catur biasa menganggap hilangnya permaisuri pihak lawan adalah detik kekalahan. Walhal, di mata seorang masterchess, terkorbannya permaisuri adalah satu taktik yang memberi satu amaran. Hilangnya permaisuri belum bermaksud CHECKMATE, tetapi bererti WASPADA!
Andai fitnah 11 September 2001 World Trade Centre itu adalah fitnah yang dilontarkan kepada Islam hingga kononnya menuduh keganasan ajaran Islam, sebaliknya isu ini menjadi titik tolak pengislaman beribu-ribu orang kristian Amerika setelah mengenali Islam. Sebenarnya Allah menegur kita agar lakukan sesuatu!
Berperang?
Bersedekah?
Boikot?
Itu sahaja?



ORIGINAL VS CIPLAK

Jika ‘Islam’ itu diibaratkan sebuah syarikat yang sangat terkemuka, menghasilkan produk-produk yang berkualiti hingga ke serata dunia, maka dalam dunia hari kini, syarikat itu dalam dilema dan di ambang kejatuhan. Syarikat itu bukan jatuh kerana kualiti produknya, tetapi kalah kerana tidak berkembang dan statik.
Dalam sebuah buku tulisan John C. Maxwell, 17 Indisputable Law of Teamwork, dalam bab The Law of Scoreboard, John ada menceritakan sebuah syarikat yang pernah mendapat tempat dan sangat popular di Amerika satu ketika dahulu. Oleh sebab syarikat ini mendapat keuntungan besar setiap hari, syarikat ini tidak mengembangkan perniagaan mereka kononnya keuntungan mereka adalah satu kepastian yang berkekalan.
Namun, sangkaan mereka silap sama sekali!
Ketika syarikat itu terus berjalan, satu syarikat lain yang memperniagakan produk sama turut berkembang. Akhirnya syarikat tadi jatuh merudum sehingga lingkup muflis. Malah, orang ramai yang menyokong syarikat itu turut sedih kerana syarikat tersebut banyak kaitan sejarahnya dengan ekonomi penduduknya.
Begitulah hakikatnya dalam dunia Islam hari ini. Umat Islam yang ada hari ini kekurangan orang yang dinamik. Bukankah lebih baik kalau kita membuka pascamodenisme Islam dengan teknologi canggih, ekonomi gigantik, ilmu pengetahuan tinggi yang beridentiti Islam? Adakah ini salah di sisi Islam?
Jika diteliti sejarah Rasulullah, zaman itu orang arab menganggap pertukangan besi adalah satu pekerjaan yang hina. Tetapi ketika berkembangnya Islam, Rasulullah sendiri menggalakkan pertukangan besi. Jika pertukangan besi yang hina itu digalakkan, ertinya Rasulullah sendiri nampak signifikannya ketika orang lain tidak nampak, iaitu variasi dalam memperkembangkan Islam – KREATIF!
“..Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya” (Surah Al-Hadid : 25)

Begitulah juga bagaimana Muhammad Al-Fatih berjaya menawan kota Constantinople dengan subjugasi menggunakan menggunakan meriam, ketika pihak musuh tidak mempunyai kemahiran teknologi.
Berubahlah para ibu bapa sekalian, anak-anak anda hari ini tidak boleh lemah. Panggilan fardu kifayah menggesa komuniti kita meramaikan pakar komputer, jurutera aeronautik, arkitek, sains aktuari dan saintis-saintis akhirnya berkhidmat di bawah nama Islam. Ingatlah firman Allah;
“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan dibelakang mereka anak-anak yang lemah..” (Surah An-Nisa’ : 9)

Anak-anak hari ini tak boleh dibiarkan bersosial melampau-lampau, sibuk-leka dengan Raja Lawak, berfoya-foya dan statik. Anak-anak sepatutnya digaris pandu ke arah kekuatan Islam, kekukuhan mentaliti dan fikrah berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Inilah masanya untuk membuktikan ke’original’an kita.
Mukmin yang ORIGINAL adalah mukmin yang kuat. Mukmin yang ORIGINAL adalah mukmin yang tahu tanggungjawab terhadap saudara-saudaranya. Mukmin yang ORIGINAL adalah mukmin yang mencintai saudaranya seperti dirinya sendiri!
Dari Abi Hamzah Anas bin Malik r.a khadam Rasulullah s.a.w dari Nabi s.a.w, sabdanya : Tidak sempurna iman seorang dari kamu hingga mencintai saudaranya seperti mana ia mencintai dirinya sendiri (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Strategi bermain catur secara ORIGINAL adalah syarat mengalahkan strategi CIPLAK!




SERANG BALAS CHECKMATE

Ketika berlakunya krisis kejatuhan nilai hartanah (krisis subprima) di Amerika, firma perbankan di seluruh dunia menghadapi kerugian yang mencecah berbillion-billion ringgit kerana pelaburan ini. Ketika ini, firma perbankan Islam yang bertaraf global tidak terkesan sedikit pun kerugian rentetan daripada taufan ekonomi yang melanda dunia, malah ketika itu mereka ghairah melancarkan produk kewangan Islam. Bon Islam yang dilaksanakan berbeza dengan bon konvensional kerana sistem muamalat Islam bebas dari segala pelaburan risiko yang meragukan. Malah bon Islam lebih efektif dan original!
Sebab itu sebenarnya Islam hari ini berpotensi untuk mendahului ekonomi Yahudi. Bagi saya, idea boikot itu bukanlah idea yang lapuk, malah terbukti kesannya hari ini pasaran ekonomi ‘729’ jatuh merudum seperti mana berlaku pada pasaran-pasaran produk Belanda ketika berlaku penghinaan terhadap Rasulullah sebelum ini.
Sekiranya ekonomi Yahudi jatuh, adakah umat Islam membiarkan keadaan itu hanya dengan laungan ‘padan muka’ atau memulakan revolusi ekonomi baru menyaingi Mc Donald, 20th Century Fox, Disney, dll?
Sebab itulah, erti hidup bukan hanya pada MEMBERI, tetapi juga MEMBUKTI!
Jika kita hanya sibuk memberi, orang sana sibuk menerima, maka sifirnya kita tidak perlu bergerak menuju anjakan paradigma.




ADAKAH CATUR ‘ASKAR’ BOLEH GANTIKAN ‘PERMAISURI’?

Itulah satu halnya yang perlu kita prihatin sekarang. Lihatlah sahaja agenda dunia politik kita di sini. Jika kita ingin tegakkan Islam melalui wasilah politik sahaja bagi saya tidak cukup. Saya tak rela mempunyai Malaysia Islamik andai PAS mengambil alih. Apa ertinya kalau sebuah negara Islam tetapi rakyatnya tidak solat, tidak menunaikan zakat, rasuah dsb?
Ramai yang bising kalau soal kita menggunakan wasilah memperkasa masyarakat dahulu, ia mengambil masa yang lama dan tak relevan. Jika janji Allah atas kemenangan Islam, kenapa nak pandai-pandai kita memberikan inferens, sedangkan masa itu adalah RAHSIA ALLAH? Lihatlah sendiri, pengislaman Michael Jackson sendiri adalah di bawah pengetahuan kita bahawa masa masalah umat pula orang yang tak disangka-sangka memeluk Islam!
Soal yang saya ingin utarakan di sini adalah, kita dan Palestin adalah satu masyarakat. Masyarakat yang digantung nama dengan masyarakat Islam. Tiada masyarakat Palestin-masyarakat Malaysia.
“Orang-orang yang berima adalah sama darah-darah mereka dan mereka adalah tangan kepada orang lain. Orang-orang bawahan pun tetap berusaha demi keamanan mereka” (Hadis Riwayat Ahmad, An-Nasai, dan Abu Daud)

Adakah sebab kita Palestin jadi seperti hari ini?
Solat itu tiang agama, jika kita tak solat, semua tahu bahawa kita sebenarnya meruntuhkan agama kita sendiri. Begitu juga zakat, Allah banyak kali sebut aqimussolah wa ‘atuz zakah, adakah kita sempurnakan erti mendalam‘hablu minallah wa hablu minannas?’Adakah solat itu tertegak dalam masa yang sama zakat itu disempurnakan?
Kita pasti dapatkan kembali ‘Permaisuri’ yang hilang itu jika semua sampai pada tahap kefahaman yang jitu. Kita akan dapat kembali Palestin yang dirobek itu seperti mana Salahuddin Al-Ayubi merampas kembali jika kita berpegang pada Quran dan Sunah. Kita juga akan berjaya mendapat cita-cita kita jika kita ‘mempunyai pemimpin yang arif, tentera yang aktif dan masyarakat yang baik’ seperti mana Sultan Muhammad Al-Fatih implementasikan sabda Rasulullah.
Ubahlah diri KITA
“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (Surah Ar-Ra’du : 11)

 -Akmal Hakim bin Abdul Khalik-

Saturday, November 20, 2010

The Azenders - Ladies And Gentlemens

Sam muncul dengan sebuah band yang baru iaitu The Azenders.
Vocals/Guitar - Sam
Drums - Kudut
Bass - Izal
Synth/Strings - Ajam


Inilah lagu pertama oleh mereka :



Klik disini untuk muat turun lagu The Azenders - Ladies And Gentlemens

Tuesday, November 16, 2010

Arsenal's Fan From Kelate

AFK 3RD GATH
ARSENAL VS TOTTENHAM
Date : 20.11.2010
Time : 8.30pm
Venue : Medan Usahawan (near Perdana and in front of Stadium Sultan Mohammad IV) 

All of you are invited, for futher info please contact me


Organise by Pawas MyFm & Yen

Tahniah buat Skuad Bola Sepak Malaysia

Saya anggap suatu kejayaan - Rajagobal

PEMAIN negara, Faizal Abu Bakar (kiri) diasak pemain Iran pada aksi pusingan kedua acara bola sepak semalam. Malaysia tewas 1-3.


SKUAD bola sepak kebangsaan terkandas pada pusingan kedua apabila tewas 1-3 kepada Iran di Stadium Yuexiu, Guangzhou petang semalam.
Namun jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal tetap menganggap kempen kali ini berjaya memandangkan skuad kendaliannya itu tidak habis-habis dilanda masalah kece- deraan dan penggantungan pemain.
"Secara keseluruhan, ini suatu kejohanan yang berjaya buat sku- ad kebangsaan.
"Apa yang penting, kita kini mula dihormati oleh semua pasukan kuat di rantau Asia ini.
"Tetapi saya meminta maaf kepada seluruh peminat bola sepak negara kerana gagal memberi yang lebih baik daripada ini.
"Saya berharap semua rakyat Malaysia faham situasi yang kami hadapi," kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan semalam.
Malaysia berjaya mengikat Iran tanpa jaringan pada separuh masa pertama hasil kecekapan penjaga gol berusia 21 tahun dari Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Fahmi berjaya menyelamatkan lima percubaan berbahaya Iran menerusi Arash Afshin (10, 20, 31), sepakan Masoud Ebrahimzadeh (23) dan rembatan kencang Ehsan Safi pada minit ke-41.
Namun, gawang Malaysia bocor juga pada minit ke-52 apabila Karim Ansari Fard merembat masuk gol pertama Iran disusuli jaringan kedua hasil tandukan Seyed Hos- seini enam minit kemudian.
Iran terus selesa apabila Amir Sharafi merembat masuk dari luar kotak penalti untuk gol ketiga pada minit ke-66 sebelum Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol sagu hati Malaysia menerusi sepakan penalti minit ke-85.
"Kita telah melepaskan dua gol mudah. Ia menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar.
"Apa pun saya tetap beri kredit dan memuji semangat pemain muda kita yang tidak jemu-jemu memberi cabaran.
"Jika kita dapat turunkan lima pemain utama, saya rasa mungkin Malaysia mampu mencipta sejarah mara ke suku akhir," jelas Rajagobal.
Dua pemain negara, Norhafiz Zamani Misbah dan Ahmad Fakri Saarani mengalami kecederaan serius ketika Malaysia menewaskan Kyrgyzstan 2-1 pada aksi sulung 8 November lalu.
Tiga lagi pemain, Safiq Rahim, S. Kunanlan dan Mahali Jasuli pula digantung satu perlawanan setelah dilayangkan kad merah oleh pengadil kontroversi dari Australia, Ben Williams ketika pasukan negara tewas 0-3 kepada tuan rumah, China, Sabtu lalu.
Kali terakhir Malaysia berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan adalah 32 tahun lalu ketika Sukan Asia 1978 di Bangkok, Thailand.

Renungan Buat Sahabat

Hari demi hari kita lalui,
tanpa pun menoleh ke belakang,
tanpa pun mengingati apa kesalahan kita yang lalu,

Jam demi jam kita tempohi,
hanya memikirkan dunia,
tanpa pun memikirkan kesalahan kita.
tanpa pun memikirkan dosa kita kepada Yang Maha Esa, ibu bapa, guru, rakan dan orang sekeliling
tanpa pun memikirkan kehidupan yang seterusnya

Minit demi minit kita alami,
hanya memikirkan apa yang bakal berlaku esok hari,
tanpa mengingati hari yang lepas dan hari ini macam mana perlakuan kita
tanpa mengetahui yang esok mungkin sudah tiada lagi

Saat demi saat pergi,
kita banyak habiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah,
kita banyak berdosa dengan Yang Maha Esa, ibubapa, guru, rakan dan orang sekeliling

Wahai kawan,
ingatlah esok masih belum pasti,
yang lalu biarkan ia berlalu,
biarkan ia menjadi ikatan abadi
dan semangat untuk kita tempohi hari, jam, minit dan saat yang mendatang

Wahai teman,
perbanyakkan lah ilmu,
untuk tempohi hari yang mendatang
dengan kejayaan

Wahai sahabat,
apabila sudah berjaya kelak,
jangan lah lupa kepada jasa pengorbanan ibubapa mu,
jangan lah menjadi bongkak & tamak,
kelak pasti akan binasa

Banyakkanlah amal mu,
Kuatkan lah iman mu,
untuk tempohi kehidupan yang akan datang,
dan ingatlah kamu kepada pencipta mu, Yang Maha Esa dan Agung

Wahai teman, wahai rakan, wahai sahabat,
jangan lah alpa, leka dengan mainan dunia,
dan ingatlah dunia ini hanya sebuah tempat persinggahan

Tempat persinggahan untuk melalui kehidupan yang akan datang,
tempat mengumpul amal, iman dan ketakwaan kita kepada Yang Maha Esa,
moga dengan tempat persinggahan ini akan membawa kita ke tempat yang ingin kita nikmati, syurga

Nukilan Peribadi oleh Pawas

Ketika Saatnya Hampir Tiba


Ku pandang raut wajahmu
penuh dengan kasih
pucat, lesu tak seperti dulu
rambutmu yang hitam
seakan sedang dimakan usia
Tapi…

itu tak menyurutkan sifatmu yang rahim
tak menyurutkan cinta pada anakmu ini
anak yang sering mendurhakaimu
Kini…
seharian kau terbaring di kamar
menahan sakit yang telah lama kau deritai
Dengan tubuhmu yang lemah
kau datang menghampiriku
membelai rambutku penuh kasih
dan mengatakan…
Nak, maafkan ibu selama ini
maafkan ibu jika tidak dapat memenuhi permintaanmu
maafkan ibu jika sering memarahimu
maafkan ibu jika sering menyuruhmu
itu semua ibu lakukan…
kerana ibu sayang akan kamu
Anakku,
jadilah kamu permata hidup
jadilah kamu seorang pembela kebenaran
kelak jikalau kau besar nanti
Anakku,
ingatlah maut
yang akan menjemput
tanpa mengira waktu dan usia
Tak terasa….
air mata berlinang di pipiku
aku tak sanggup berkata apapun
hanya hati yang dapat berkata
aku akan menjadi seperti yang kau minta
menjadi manusia sejati dambaan umat
~Pawas~

Saturday, November 6, 2010

Madah Cinta Luka

Bila cinta putus ditengah jalan usahlah bermuram durja menyakiti diri sendiri. Bangkitlah dan mulakan cinta baru. Kerana setiap cinta yang hilang pasti akan ada pengganti. Usah mengharap pada yang tak pasti, usah merayu pada yang tak sudi. Cinta pertama tidak semestinya yang terbaik. Setiap cinta mempunyai keunikan dan kehangatan yang tersendiri. Jangalah terus terikat kepada cinta yang sudah pergi.


Kadang-kadang bila kita sudah memiliki sebuah cinta kita terlupa yang cinta itu masih perlu sentiasa dipupuk dan dibajai dengan kasih sayang. Kita terlalu yakin kita akan memiliki cinta itu sampai bila-bila pun. Apabila segalanya berakhir barulah kita akan menyedari kesilapan yang kita telah lakukan. Dan malangnya kesedaran itu sentiasa datang terlambat.


Antara cinta yang telah berlalu dengan cinta yang sedang menanti kita sentiasa cenderung untuk mengabaikan cinta yang berada jelas di mata dan sering mengharap dan menoleh kepada cinta yang telah berlalu jauh meninggalkan kita.

Bila seseorang jatuh cinta ketika dia baru kehilangan kekasih hati maka cinta yang tercipta itu bukanlah cinta sebenar melainkan hanya seperti ubat khayal yang bertindak sementara sahaja dan kemudian akan merosakkan hatinya dua kali ganda malah berganda-ganda lagi selepas itu...kerana sesungguhnya kita boleh menipu orang lain tetapi bukan hati kita sendiri.

Jika bercinta janganlah kita menjadi hamba cinta. Seperti mana kita tidak mahu menjadi hamba duit kita juga tidak mahu menjadi hamba kepada cinta. Kuasai cinta. Jadilah tuan kepada cinta. Jangan biarkan cinta memperkotak-katikkan hidup. Gunalah akal dan fikiran.

Bila kita kecewa atau putus cinta kita selalu menyalahkan orang lain atas kegagalan cinta itu. Tapi pernahkan kita bermhuasabah dengan diri sendiri apa yang telah kita lakukan sehingga segala-galanya musnah. Kerana tanpa sedar kadang-kadang kita membuat kesilapan yang menutup pintu hati sang kekasih untuk terus mencintai kita. Kadang-kadang kita tewas dengan tipu helah orang ketiga yang sengaja mewujudkan jurang di antara kita. Bila hidup menjadi tidak terurus kerana kecewa ingatlah setiap benda di dunia ini tidak akan kekal lama...tidan terkecuali CINTA. Jadi terimalah realiti...Di mana ada cinta disitu pasti akan ada perpisahan cuma masanya sekarang atau kemudian.

Suami Minta Nikah Sorang Lagi

"Sayang, Abang minta izin untuk nikah sorang lagi," Aliyah yang sedang melipat kain, terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak. Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang. Tapi, ahh bukanlah.
TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk?

Dia menghela nafas panjang.

Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum. Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin. Pengabisannya dia kembali kepada suaminya.

Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.

"Kau mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga," sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.

" Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis," masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.

Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak- anak. Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.

" Abang , Aliyah setuju dengan permintaan Abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu," Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya. Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda.

"Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?" pelik benar permintaan isterinya. Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju. Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan. Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak.

Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.

"Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abang," terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau. "Kak Aliyah yang minta," masih lembut dia memujuk Qis.

"Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis?" "Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!" terkejut Asraf Mukmin. "Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abang dah lama hidup dengannya. Abang faham," Qistina mengalih pandangannya.

Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak membuli aku. Desis hati kecil Qistina. Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya. Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra.

Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri majlis kuliah agama. Membaca Al-Quran secara bertaranum itu adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air matanya. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.

Tit tit... sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya. "Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abang jadikan isteri. Qis tidak sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama Abang."

Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.

Kepada: Asraf Mukmin, Suami yang tersayang...

Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna cokelat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.

---------------------------------------------------------------

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.
Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi, genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana Abang membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.

1. Dengan ukuran badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju- bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tak sanggup Abang diheret ke neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa Abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di akhirat sana , apatah lagi Abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan Abang...

2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tahu selera Abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera Abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, Abang muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan la pula anak-anak kita.Aliyah sayangkan Abang...

3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat Abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak Abang untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung... Aliyah sayangkan Abang...

Abang yang disayangi, cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, Abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan Abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.

Abang yang dicintai, di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak. Jika munajat Abang di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abang ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, lupa nak cakap, Qistina telah berada di Sawarak. Menunggu Abang... Aliyah sayangkan Abg...

Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri Abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah...Aliyah sayangkan Abg.

Tetapi, jika Abg merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abangg.. tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abang, roti canai.. air tangan Aliyah.

Salam sayang, Aliyah Najihah binti Mohd

VIDEO IKLAN(OST ADAMAYA)